Sunday, February 24, 2008

Maknyah Insaf

Posting ni diambil dari MyMetro.


Amal sihir, khurafat

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lapan tahun lamanya seorang lelaki lembut atau mak nyah yang hanya mahu dikenali sebagai Sally, 21, bergelumang dengan dosa apabila terbabit dalam kegiatan pelacuran dan melakukan pelbagai amalan songsang untuk memastikan dirinya laris.

Dia yang kini insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan mendedahkan, dunia pelacuran golongan mak nyah sungguh ‘menakutkan’ kerana kebanyakan mereka bukan saja melakukan pembedahan plastik, tapi turut mengamalkan sihir dan perbuatan syirik.

“Kepada lelaki yang melanggan pelacur mak nyah, saya nasihatkan mereka berhati-hati kerana ramai mak nyah mengamalkan sihir untuk menundukkan pelanggan mereka. Jadi, mereka kelihatan cantik bukan kerana pembedahan kosmetik, tetapi kerana amalkan sihir.

“Pelbagai cara yang khurafat dan bertentangan dengan agama mereka gunakan, termasuk menjampi air mani, kuku atau air liur pelanggan mereka. Lebih menakutkan, ada juga memuja patung, malah sanggup minum darah babi, semata-mata mahu menjadikan pelanggan patuh dan menurut perintah,” katanya.


Sally berkata, dia pernah memakai susuk angin dengan tujuan menjadikan mukanya lebih cantik apabila dilihat oleh lelaki, biarpun hanya sekali pandang.

“Dengan susuk angin, apabila lelaki melihat saya, mereka pasti pandang sekali lagi dan seterusnya terpikat dengan ‘kejelitaan’ saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Sally yang berasal dari Terengganu berkata, amalan susuk angin diamalkan kira-kira dua tahun lalu melalui seorang bomoh di Lembah Klang.

“Untuk menerima susuk itu, saya hanya bersalam dengan dia dan ketika itu terasa badan seram sejuk. Selepas itu, saya lebih yakin dan berani untuk memikat pelanggan.

“Bagaimanapun, penggunaan susuk angin boleh dianggap biasa saja kerana saya pernah lihat bomoh memasukkan berlian dan patung yang dihancurkan ke dahi rakan untuk penyeri wajah. Harganya pula bukan murah, paling murah RM500 dan paling mahal RM5,000,” katanya.

Menurutnya, selepas mengamalkan ilmu hitam itu mereka mesti berpantang, antaranya tidak boleh lalu di bawah ampaian, bersembahyang atau membaca al-Quran dan makan pisang.

“Saya pernah lihat sendiri seorang rakan terpaksa menekup telinga apabila mendengar azan dan bila ditanya apa yang dialami, dia memberitahu kepalanya sangat sakit sepanjang azan berkumandang,” katanya.

Sally yang mula menjadi mak nyah sejak usia 13 tahun berkata, perbuatan syirik dan khurafat yang dilakukan golongan itu disebabkan terdesak kerana jumlah mak nyah kini semakin ramai, sekali gus menyebabkan saingan dalam kegiatan pelacuran bertambah sengit.

Katanya, keadaan bertambah sukar bagi pelacur mak nyah sepenuh masa apabila ada mak nyah yang ada pekerjaan lain turut mencari pelanggan, namun tidak mengenakan bayaran.

“Yang jadi mangsa, pelacur mak nyah sepenuh masa kerana mereka sukar mencari kerja di tempat lain disebabkan penampilan mereka yang seperti wanita,” katanya.

Sally berkata, seperti kebanyakan pelacur mak nyah, dia sebelum ini turut melakukan pembedahan kosmetik di hidung dan kelopak mata untuk mencantikkan lagi wajahnya, selain mengambil vitamin dan hormon bertujuan membesarkan buah dada.

Katanya, untuk mendapatkan perubahan fizikal yang lebih drastik, ada juga mak nyah menyuntik silikon bagi membesarkan buah dada, malah ada juga yang bertindak lebih berani dengan melakukan pembedahan menukar jantina.

“Saya juga pernah terfikir untuk melakukan pembedahan itu, tapi membatalkannya selepas dinasihati rakan. Mereka yang sudah melakukannya memberitahu saya, sakitnya memang tak tertanggung,” katanya.

Selain itu, akibat pengaruh rakan, Sally juga terjebak dalam penyalahgunaan dadah dengan menagih syabu sejak dua tahun lalu.

“Selepas menagih syabu, hidup saya menjadi tidak menentu. Saya benar-benar menjadi hamba syabu dan sanggup melakukan apa saja untuk melepaskan ketagihan. Daripada itu, timbul rasa insaf dalam diri saya.

“Saya tidak mahu mati kerana dadah dan saya juga tidak sanggup mengadap Tuhan dalam keadaan begini.

“Terlalu banyak dosa yang saya lakukan dan saya bersyukur kerana pintu hati saya terbuka untuk bertaubat. Semoga Allah menerima taubat saya dan mengampunkan dosa saya,” katanya.

Sally berkata, pembabitannya dalam dunia mak nyah, pelacuran, amalan khurafat dan penagihan syabu selama ini bukan sesuatu yang dirancang tetapi berlaku secara kebetulan, terutama selepas melalui peristiwa hitam ketika berusia 13 tahun.

“Ibu bapa bercerai sejak saya dalam kandungan. Selepas itu, saya dibesarkan keluarga angkat dan mereka memberi layanan sangat baik kepada saya.

“Semua permintaan dipenuhi, malah saya ditatang bagai minyak penuh, apatah lagi ibu dan bapa angkat tiada anak.

“Namun, ketika di sekolah rendah, saya sangat nakal dan mula memberontak apabila permintaan tidak dipenuhi sehingga saya tergamak memukul mereka. Mereka terlalu kecewa dan tidak tahan dengan perangai saya.

“Mereka kemudian menghantar saya ke sebuah rumah kebajikan di utara tanah air ketika usia saya 13 tahun.

Ketika itu, buat pertama kali saya diliwat senior.

“Memang saya tiada tempat mengadu, malah pada masa saya dalam kesusahan, saya didekati tiga mak nyah yang memberi kasih sayang dan menjadi tempat saya meluahkan masalah.

“Akibat pengaruh merekalah saya terjerumus ke dalam dunia mak nyah,” katanya.

Selepas tamat tingkatan tiga, Sally pulang ke negeri asalnya dan kehidupannya semakin liar, malah dia mula bergerak ke Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang semata-mata mahu mencari kelainan dan kepuasan.

“Ketika di Terengganu, siang saya bersekolah seperti biasa dan malam, jam 12 ke atas, saya berubah menjadi wanita dan berkeliaran di lorong-lorong.

“Boleh dikatakan saya pondan paling muda ketika itu dan antara yang mendapat sambutan, maklumlah masih ‘bergetah’ lagi,” katanya.

Sally berkata, dalam sehari dia boleh memperoleh pendapatan antara RM100 ke RM200 dan ia digunakan untuk membeli peralatan serta kelengkapan diri.

Dua tahun kemudian Sally berhijrah ke Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan kehidupannya lebih liar dan pendapatannya lebih lumayan.

“Di KL, saya pernah membuat pertunjukan di kelab malam, selain mencari pelanggan di Bukit Bintang dan di Chow Kit. Malah, saya juga ada laman web sendiri dan pelanggan boleh membuat tempahan melaluinya.

“Begitupun, itu kenangan lalu dan kini saya insaf serta mahu bertaubat. Dulu saya mudah terpengaruh dan hanya pentingkan keseronokan, kini saya lebih matang,” katanya.

Kata-kata Sally dibuktikan melalui penampilannya yang berubah daripada rambut mengurai panjang menjadi hampir botak, berbaju sendat dan seksi kepada pakaian lelaki, selain sujud di sejadah.



No comments: